SEDEKAH Pendinding api neraka
Pemberian itu merangkumi sedekah dan hadiah. Jika pemberian itu dimaksudkan sebagai satu cara untuk mendekatkan diri kepada Allah, maka ia dinamakan sedekah, tetapi jika ia dimaksudkan sebagai satu penghargaan, sanjungan dan tanda kasih maka ia dinamakan hadiah.
Bersedekah adalah di antara amalan sunat yang dianjurkan dan digalakkan. Anjuran ini tidaklah hanya ditujukan kepada orang-orang kaya, malahan orang-orang yang berpendapatan rendahpun dianjurkan menurut kadar kemampuan masing-masing.
Nabi Sallallahu `alaihi wasallam bersabda :
Maksudnya : "Tangan yang di atas (orang memberi) itu lebih baik daripada tangan yang di bawah (yang menerima)
Mungkin akan timbul persoalan, kepada siapakah orang yang lebih utama diberi sedekah? Walaupun tidak ramai yang mempersoalkan perkara ini tetapi ia penting untuk diketahui.
Kalau berdasarkan firman Allah Surah al-Balad ayat 15, orang yang terlebih utama diberi sedekah ialah anak yatim dan kaum kerabat. Menurut hadis riwayat Bukhari pula orang yang lebih berhak diberi sedekah ialah suami dan anak. Setelah itu barulah bersedekah kepada orang-orang yang salih yang berbuat kebajikan dan yang mempunyai maruah yang baik.
Di antara kelebihan sedekah itu ialah sebagaimana Firman Allah:
Tafsirnya: "Dan apa jua harta yang halal yang kamu belanjakan (pada jalan Allah) maka (faedah dan pahalanya) adalah untuk diri kamu sendiri. Dan kamu pula tidaklah mendermakan sesuatu melainkan kerana menuntut keredhaan Allah. Dan apa jua yang kamu dermakan daripada harta yang halal, akan disempurnakan (balasan pahalanya) kepada kamu, dan (balasan baik) kamu (itu pula) tidak dikurangkan.
(Surah Al-Baqarah: 272)
Nabi Sallallahu `alaihi wasallam pula bersabda :
Maksudnya: "Siapa yang sanggup mendinding dirinya daripada api neraka walaupun dengan (bersedekah) sebelah buah kurma, maka hendaklah dia lakukan."
(Hadis riwayat Muslim)
Dalam sebuah hadis yang lain daripada Anas Radhiallahu ‘anhu Nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda bermaksud: "Bersedekahlah kamu, sesungguhnya bersedekah itu melepaskan kamu daripada Jahannam."
Begitulah betapa besarnya kelebihan yang akan diperolehi oleh orang-orang yang bersedekah Walau bagaimanapun sedekah yang tersembunyi itu adalah lebih baik dan lebih utama daripada sedekah yag dilakukan secara terang-terangan. Ia lebih dekat kepada keikhlasan yang merupakan roh segala amalan dan ia lebih jauh daripada perasaan ria yang merosakkan amalan.
Firman Allah: Dalam Surah al-Baqarah ayat 271.
Tafsirnya: "Kalau kamu zahirkan sedekah-sedekah itu (secara terang), maka yang demikian adalah baik (kerana menjadi contoh yang baik). Dan kalau pula kamu sembunyikan sedekah-sedekah itu serta kamu berikan kepda orang-orang fakir miskin, maka itu adalah lebih baik bagi kamu."
Inilah salah satu amalan yang baik untuk dilakukan. Ia bukan saja salah satu cara untuk mengeratkan silaturrahim, malahan akan dapat meringankan bebanan anggota masyarakat yang berhajat dan memerlukan bantuan.
Saturday, November 1, 2008
Posted by sumayah at 10:25 PM 2 comments
Subscribe to:
Comments (Atom)
